Sunday, 24 November 2019

BAB 10

PENGURUSAN PENASIHATAN MURID (BIMBINGAN DAN KAUNSELING)

Rajah 10 Pengurusan Penasihatan Murid (Bimbingan & Kaunseling)

Pengenalan

Konsep bimbingan merupakan bantuan seseorang yang memiliki peribadi dan pendidikan yang memadai kepada seseorang individu dari setiap peringkat usia. Tujuannya adalah untuk menolong mengarahkan hidupnya sendiri, membuat pilihannya sendiri dan menanggung akibatnya sendiri (Crow & Crow 1960). Bimbingan diberi kepada individu untuk membuat pilihan dan penyesuaian yang bijak. Dalam konsep pendidikan, bimbingan merupakan keseluruhan perancangan aktiviti-aktiviti dalam membantu pelajar mengalami cara-cara untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka.
            Konsep memberi nasihat ialah strategi menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat (Zuraidah, 1994). Menurut kamus dewan, nasihat ialah ajaran, petunjuk yang baik, peringatan mengusulkan, mengesyorkan atau menganjurkan kepada seseorang tentang pelbagai hal.

Isi Penting

            Isi penting yang telah saya pelajari dalam topik ini ialah terdapat beberapa proses bimbingan dan penasihatan. Fasa pertama, kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar. Dalam fasa ini, pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu perlu menerima konsep ini. Penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar-pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar.
            Pada fasa kedua, menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Pada tahap ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas.
            Fasa ketiga merupakan proses mengenali pelajar Pada tahap ini, guru-guru dapat mengaplikasi kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan boleh mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan  penasihatan. Teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan.

      Fasa keempat proses membimbing pelajar membina hubungan, penerokaan, definisi masalah dan membina matlamat, alternatif penyelesaian dan pelan tindakan, dan melaksanakan tindakan. Fasa kelima ialah analisis penilaian dimana melihat keberkesanaan perhubungan bimbingan dan penasihatan itu sama ada berkesan atau tidak berkesan. Hasil analisis ke atas pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan dari fasa ini akan dijalankan ke dalam fasa berikutnya jika perlu.

Rumusan

            Topik ini berkaitan dengan pengurusan penasihatan murid. Bab ini menjelaskan tentang fungsi seorang guru bukan sahaja mengajar bahkan sebagai penasihat kepada para pelajarnya agar mereka yang mempunyai masalah dapat dibantu dengan sebaiknya. Sesi kaunseling terhadap pelajar amat perlu terutamanya bagi pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran mahupun kendiri. Pengurusan penasihatan murid ini sangat penting untuk dilaksanakan agar masalah-masalah yang berlaku dapat diatasi hingga ke akar umbi. Namun begitu, pelbagai aspek haruslah ditekankan ketika memberikan sesi kaunseling dan bimbingan iaitu dengan mematuhi kod etika bimbingan & kaunseling serta tidak melakukan perkara yang bercanggah daripada aspek bimbingan & kaunseling. Sebagai seorang guru, sikap profesional dalam menangani isu dan masalah pelajar sangat diperlukan agar pelajar dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalahnya.

Rujukan

Pengurusan Bimbingan & Kaunseling. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2002.

Zuraidah Abdul Rahman. (2011). Kaunseling dalam pengurusan. Selangor: Marshall Cavendish.

Puteri Hayati Megat Ahmad. (2017). Kemahiran dan pengurusan kes-kes kaunseling. Kota Kinabalu:    Penerbit Universiti Malaysia Sabah.



No comments:

Post a Comment