Saturday, 23 November 2019

BAB 5

PENGURUSAN MURID

Rajah 5 menunjukkan komponen dalam pengurusan murid

Pengenalan

Pengurusan murid merupakan salah satu bahagian yang sangat penting dalam pentadbiran sekolah. Hal ini demikian kerana, pengurusan murid ini berkaitan dengan usaha untuk melahirkan murid yang berkualiti dan mampu membawa perubahan terhadap negara dalam pelbagai aspek pada suatu hari nanti. Selain itu, pengurusan murid ini perlulah dilakukan dengan sistematik kerana ianya mampu mencapai matlamat dan objektif yang ingin dilakukan. Tugas bagi menguruskan berkaitan murid ini dikendalikan oleh Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid yang berkaitan dengan aspek disiplin, ko-kurikulum, kurikulum dan aspek yang lain melalui peranannya sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang, pemudah cara, penyelaras, pengawal, penawar, dan kaunselor yang boleh membantu memudahkan pengurusan murid.
Sememangnya, pengurusan murid dapat melahirkan murid yang berkualiti dari pelbagai aspek seperti kognitif, afektif dan psikomotor. Dalam pada itu, pengurusan murid juga sangat membantu murid untuk sentiasa konsisten dalam proses pengajar oleh guru dalam kelas. Selain itu, guru juga dapat merancang dengan baik bagi melaksanakan proses P & P dalam kelas dan pada masa yang sama dapat menarik minat pelajar untuk belajar.
Pengurusan murid juga memperlihatkan bahawa perancangan dan pengurusan yang baik dan sistematik akan mewujudkan suasana pembelajaran yang baik dan sempurna. Di samping itu, pengurusan murid juga dapat membina budaya yang baik di antara guru dan murid. Seterusnya, pengurusan murid juga  meningkatkan motivasi murid khususnya untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan dapat ke menara gading. Oleh itu, pelbagai pihak perlu berganding bahu dalam melaksanakan pengurusan murid dengan sempurna dan dapat melahirkan murid yang pelbagai aspek termasuk nilai-nilai murni dalam diri mereka.

Isi Penting

 Komponen Dalam Pengurusan Murid

Pengurusan murid mempunyai beberapa elemen penting yang menentukan objektif yang telah dibuat tercapai. Antara contohnya ialah pengurusan rekod murid, kesediaan belajar murid dan memotivasikan murid. Setiap elemen tersebut mempunyai peranan penting dan tidak boleh dibuat tanpa perancangan yang baik dan rapi. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu melakukan tugas mereka dengan sehabis baik untuk mencapai negara maju pada masa akan datang.

1. Mengurus Rekod Murid

Mengurus rekod murid ini merupakan salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh guru. Pengurusan rekod murid dikaitkan dengan aktiviti mencatat bidang pengurusan yang bertanggungjawab untuk menjaga, bersistematik mengawal penciptaan, penerimaan, penggunaan dan ciri rekod termasuklah proses menjaga dan memelihara bukti dan maklumat murid ke dalam bentuk rekod.
Terdapat beberapa perkara yang harus dipertimbangkan semasa menghasilkan rekod iaitu tujuan, aspek, perincian dan juga pertimbangan yang praktikal. Rekod murid yang dibuat harus dilindungi dan dijaga dengan baik kerana mengandungi maklumat yang boleh memberitahu guru mengenai persekitaran setiap anak muridnya. Rekod yang ingin dibuat juga perlu dibuat dengan rapi dan sistematik kerana sistem rekod murid yang baik akan dapat membantu guru untuk merancang sistem pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan efisien.
Namun, sebelum membuat rekod murid, seseorang guru harus menjalankan pentaksiran mengenai persekitaran seseorang murid yang merangkumi aspek persekitaran, perkembangan, kemajuan, kesihatan dan tingkah laku melalui beberapa kaedah yang sesuai. Antara kaedah yang boleh dijalankan untuk membuat pengurusan rekod pelajar iaitu dengan menggunakan kemudahan teknologi yang semakin berkembang sekarang ini. Jadi, segala pengurusan rekod yang dilakukan dapat dibuat dengan lebih sistematik. Pengurusan rekod murid yang baik dapat membantu seseorang guru mencapai objektif yang telah dibina melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Maklumat dalam rekod perlu dikemas kini untuk memudahkan guru membuat rujukan tentang pembelajaran murid.
Selain itu, rekod ini juga melibatkan rekod kerja di dalam kelas serta markah dan kemajuan yang dicapai oleh setiap pelajar. Catatan khas berkenaan kerja rumah haruslah dibuat dan diletakkan bersama rekod kerja kelas. Guru dapat menentukan kadar pengajaran berdasarkan rekod kemajuan kelas dan individu yang tepat dan jelas. Rekod ini juga dapat membantu guru menyedari perlunya bahan tambahan ataupun bahan lain dengan cepat. Liputan setiap topik dalam sukatan boleh disemak dengan mengumpul dan sentiasa merujuk rekod kerja. Jika perlu, boleh diperluas sehingga mencapai keputusan yang memuaskan.
Kehadiran pelajar direkodkan di dalam buku daftar kehadiran. Catatan boleh dilakukan sama ada sekali sehari, pagi dan petang ataupun pada setiap pelajaran. Tunggu seketika sebelum merekodkan kehadiran pelajar supaya pembetulan dapat dilakukan apabila ada pelajar yang datang lewat. Kadangkala rekod kehadiran pelajar diambil kira bagi penganugerahan sijil kelayakan. Jadi, rekod kehadiran juga merupakan salah satu rekod yang penting untuk dilakukan secara tepat dan betul.
Manakala dalam buku Rekod Mengajar guru haruslah mempunyai perkara-perkara seperti Salinan Jadual Waktu Persendirian, termasuk analisis mata pelajarannya. Selain itu, terdapat juga Salinan Sukatan Pelajaran bagi mata pelajarannya yang diajarnya. Salinan kertas soalan peperiksaan dan keputusan peperiksaan, termasuk ujian bulanan bagi tiap-tiap kelas yang diajarnya turut dimuatkan selain perancangan pengajaran mengikut tahunan, mingguan dan harian. Buku Rekod Mengajar mesti diisi mengikut perancangan pengajaran harian sebelum masuk ke dalam kelas.

2. Kesediaan Murid Belajar

Kesediaan Murid Belajar merupakan keadaan dalam individu yang bersedia dan berupaya untuk mempelajari sesuatu dengan tujuan memperolehi pengalaman pembelajaran yang baru. Apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila peringkat perkembangannya (Brunner, 1966). Manakala Piaget (1966) mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak. Kesediaan ini berkaitan dengan peringkat perkembangan intelek seperti berfikir, menaakul, menganalisis, mensintesis dan menilai. Merujuk kepada sikap, keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran. Merujuk kepada potensi atau kematangan fizikal dan kesediaan untuk melakukan proses pembelajaran yang baru seperti kesediaan psikomotor,  kesediaan afektif, kesediaan kognitif dan jenis kesediaan belajar. Setiap individu menunjukkan emosi berbeza walau dalam situasi yang sama. Perbezaan yang dapat dihayati melalui pergaulan, interaksi dan aktiviti sosial, cara kehidupan yang berbeza di antara satu individu dengan individu yang lain, falsafah hidup dan keagamaan yang berbeza antara individu.  Strategi implementasi kesediaan belajar seperti gunakan set induksi yang menarik, rancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kebolehan dan pengetahuan sedia ada, Peringkatkan isi pelajaran mengikut tahap kesediaan belajar murid (mudah ke kompleks), gunakan pelbagai stimulus dalam mengekalkan minat murid dan banyak lagi.

3. Memotivasikan Murid

Motivasi merupakan rangsangan yang membangkitkan minat seseorang individu ke arah mencapai sesuatu matlamat tertentu. Tingkah laku yang berpusatkan pada sesuatu perkara, dan mampu menghasilkan kepuasan secara berulang-ulang. Naluri ingin tahu mencetuskan tingkah laku seperti ingin mencuba, menjelajah, mencipta dan mereka bentuk. Dari segi desakan melibatkan tindakan disebabkan oleh keperluan fisiologi,  keperluan melibatkan keinginan memenuhi kekurangan fisiologi dan  psikologi. Sikap pula dibentuk daripada kefahaman , perasaan dan tindakan, harapan iaitu ramalan subjektif selaras dengan kognitif, aspirasi iaitu penilaian yang subjektif terhadap tugas yang dilaksanakan.

Rumusan

            Secara rumusnya faedah mengurus maklumat murid ialah data dan maklumat dapat disimpan dengan lebih baik dan tersusun. Malah, maklumat mudah dicapai dan digunakan dengan menggunakan sistem pengurusan data. Selain itu, semua pentadbir, kakitangan akademik dan bukan akademik mudah mendapatkan data dan membuat analisa. Mudah untuk membuat keputusan berkaitan dengan gaji, prestasi akademik dan bukan akademik. Pentadbiran khususnya kerani dan kerani kewangan dapat menggunakan teknologi IT dengan sepenuhnya. Faedah dan kebaikan maklumat kepada masyarakat. Maklumat mudah dicapai melalui Internet. Ibu bapa, pelajar dan warga seluruh dunia dapat membaca maklumat tentang sekolah dari homepage sekolah. Faedah maklumat kepada jabatan dan kementerian. Pihak pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan dan kementerian pendidikan mudah mendapatkan data dan maklumat daripada sekolah. Sistem perisian yang seragam di peringkat daerah , negeri dan negara memudahkan data itu diurus dan digabungkan. Prestasi pendidikan negara dapat dianalisis dengan cepat .Tindakan serta merta dan rancangan jangka panjang dapat dilaksanakan berdasarkan maklumat tepat yang diberikan oleh setiap sekolah.

Rujukan


No comments:

Post a Comment